Amirrizdwan, Black azam bentuk benteng ampuh TRW

KOTA BHARU: Pemain pertahanan Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin dan Mohd Faris Shah Rosli bertekad untuk kembali membentuk gandingan mantap bagi mengemudi benteng pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Amirizdwan Taj Tajuddin menyertai skuad The Red Warriors (TRW) selepas berakhirnya tempoh kontrak dengan PKNS FC musim ini, manakala Mohd Faris Shah pula baru sembuh dari kecederaan serius selama setahun.

“Saya harap peluang kembali bersama TRW musim 2018 akan membantu mengembalikan semula sentuhan menjadi jentera pertahanan terbaik dalam kesebelasan utama pasukan.

“Pengalaman bersama PKNS FC sebelum ini bakal dijadikan suntikan semangat walaupun dalam tempoh singkat bagi mengembalikan semula keyakinan kerana benteng TRW pernah dikenali antara digeruni penyerang lawan dalam kancah Liga M.

“Oleh itu, saya harap sokongan padu daripada rakan, Farisham Ismail, Mohd Faris Shah Rosli, dan Faizol Nazlin Sayuti terutama dari segi membentuk gandingan mantap,” katanya yang pernah menyertai Kelantan pada musim 2015.

PEMAIN Kelantan, Mohamad Faris Shah Rosli (dua dari kanan) tidak sabar beraksi dalam kesebelasan utama pasukan selepas berehat hampir satu tahun akibat kecederaan. – Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Sementara itu, Mohd Faris Shah atau lebih dikenali Black berkata, beliau tidak sabar beraksi dalam kesebelasan utama pasukan selepas berehat hampir satu tahun akibat kecederaan.

“Saya sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan sedia beraksi membantu TRW terutama membentuk gandingan mantap bersama beberapa pemain muda dari Piala Presiden yang dinaikkan pangkat ke pasukan Liga Super.

“Pada masa sama, saya juga mahu berusaha dan bekerja keras mempertingkatkan kembali tahap kecergasan kerana agak lama tidak beraksi dengan sebarang perlawanan,” katanya.

beritaharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*